FEBRUARI 2024

Petronas (PCG), Sarawak Petchem Metrai Mou Kaji Bina Loji Ammonia Di Bintulu


KUALA LUMPUR, 21 Februari 2024 – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg pada Rabu di ibu negara telah menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) dan  Sarawak Petchem Sdn. Bhd. (Sarawak Petchem) untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan bersama untuk membina loji Ammonia dan Urea berkarbon rendah di Bintulu.

Di bawah terma MoU itu, kedua-dua syarikat akan menjalankan kajian komprehensif bersama dari segi teknikal dan komersial, dengan aspek-aspek yang lain, dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian tenaga lestari dengan memanfaatkan potensi tenaga yang boleh diperbaharui di rantau ini.

MoU tersebut ditandatangani oleh Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Petchem YBhg. Dato’ Mohammad Haji Ibrahim bersama Ketua Kewangan & Komersialnya Abdul Razak Ali; manakala PCG diwakili oleh Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif Mazuin Ismail dan Ketua Perancangan Strategik & Usaha Niaga, Ir. Yaacob Salim. 

Majlis tersebut juga disaksikan oleh Pengerusi Sarawak Petchem, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Haji Abdul Aziz bin Dato Haji Husain; Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Bakke Salleh; serta Presiden PETRONAS dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tengku Muhammad Taufik.

“Usahasama untuk mengkaji potensi pembangunan loji Ammonia dan Urea berkarbon rendah berskala dunia amatlah dialu-alukan. Loji ini mempunyai keupayaan pada masa akan datang untuk menghasilkan ammonia dengan jejak karbon yang rendah; ia sememangnya satu inisiatif strategik dalam memanfaatkan peluang pasaran peralihan tenaga global,” kata YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari.

YBhg. Tan Sri Datuk Amar (Dr) Haji Abdul Aziz turut menambah, “Kerjasama ini membolehkan kami memanfaatkan sinergi, mengoptimumkan kos, dan berkongsi risiko, justeru memaksimumkan nilai untuk Sarawak dan Malaysia; dan pada masa yang sama menzahirkan amalan perniagaan yang beretika dan pemikiran yang kolaboratif. Inisiatif pembangunan bersama ini berfungsi sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi di Sarawak, di samping memacu penyediaan peluang pekerjaan dan memupuk pertumbuhan lestari selaras dengan objektif Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak.

 “Kami mengalu-alukan peluang ini untuk bekerjasama dengan Sarawak Petchem, kerana ia mengukuhkan lagi hubungan pekerjaan kami dengan Sarawak. Ini berpotensi untuk menjadi projek berkarbon rendah pertama bagi PCG dan selaras dengan komitmen untuk memacu transformasi yang lestari dalam rantaian nilai kami. Kerjasama dengan Sarawak Petchem ini bukan sahaja sejajar dengan objektif kelestarian negara dan juga PCG, tetapi juga memudahkan pengembangan kami yang selanjutnya ke dalam pasaran urea di Asia Tenggara. Selain itu, ia memberi peluang untuk memanfaatkan sumber tenaga boleh diperbaharui daripada Sarawak sambil melengkapkan usaha kami dalam membangunkan kemudahan Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS),” kata Mazuin.

Ammonia berkarbon rendah selalunya digunakan dalam sektor hidrogen dan tenaga untuk pembakaran bersama, “bunkering” dan aplikasi Ammonia lestari pada masa hadapan manakala Urea pula berfungsi terutamanya sebagai baja, bahan mentah untuk resin dalam papan lapis dan pelekat, serta cecair ekzos diesel untuk pengaplikasian automotif.